Festival Filem Pendek

alif 3

UNISZA LAHIR KARYAWAN FILEM MUDA

Kuala Nerus: Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Senireka dan Teknologi (FRIT) semester 3, Wan Alif Asyraf  Wan Nor Ruddin telah berjaya sebagai karyawan muda dalam pembentangan/syarahan hasil karya filem pendek bertajuk ‘Lagu Kita’ bersempena Festival Film HAS 4.0 pada 19 November 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Matlamat penganjuran Festival ini adalah untuk membentuk satu gerakan yang perlu disokong dalam usaha mendidik masyarakat melalui filem, dan melahirkan pengkarya filem muda yang mendidik masyarakat.

Festival Filem HAS 4.0 ini dianjurkan oleh Akademi Filem HAS dengan kerjasama WADI Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini merupakan lanjutan kerjasama yang telah termeterai sejak penganjuran Festival Filem HAS 3.0. Menyedari kejayaan penganjuran festival filem sebelum ini dan potensinya untuk dibawa ke tahap yang lebih tinggi, pihak penganjur memutuskan untuk menganjurkan sebuah lagi festival filem sebagai penutup acara program anjuran Akademi Filem HAS bagi tahun 2016.

Festival Filem HAS kali ini menampilkan 6 karyawan muda  filem pendek tempatan ia itu filem pendek bertajuk, Pernah arahan Muz Inspire (IGX Production), Kesumat arahan Noor Helmie (FCPC IIUM), “A Life Of None Exist” arahan Akmal Aidi Salihin (UNH Production), Lagu Kita arahan Wan Alif Asyraf (KAMI Films-UNISZA), “Power” arahan Ulwan Mokhtar (HAS Filmmaking Academy) dan  Syahadatul Haq arahan- Azfar Hamdii – (Mr The All Shared) manakala 2 filem pendek dari negara jemputan iaitu, Imajinasi - arahan Yusuf Jacka Ardana – Indonesian Youth Filmmakers Association (IYFA) Indonesia dan Sanggup- arahan Thaqib Tuah – (Lensa Muslim, Brunei) Brunai Darul Salam.

Kejayaan penganjuran Festival Filem HAS kali ke-4 ini memperlihatkan satu potensi tanpa had dalam membawa visi gerakan pengkarya filem pendek ‘indie’ ini ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, Akademi Filem HAS dan rakan stratergik iaitu WADI Malaysia ingin mengumumkan perancangan penganjuran Festival Filem Edu Asia Tenggara 2017. Penganjuran festival filem ini dijangka akan melibatkan rangkaian peminat filem dan pengkarya filem dari negara-negara ASEAN. Penganjuran festival filem ini juga dijangka berskala besar dan memerlukan kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak samada syarikat korporat, institusi pendidikan, pihak kerajaan, dan persatuan di Malaysia dalam usaha menjayakan festival filem itu nanti.

Penganjuran Festival Filem Edu Asia Tenggara 2017 ini akan memfokuskan tema pendidikan sejajar dengan visi gerakan pengkarya filem ‘indie’ yang ingin mendidik masyarakat melalui filem. Melalui penganjuran festival filem yang berprestij ini, diharapkan ianya bukan sahaja dilihat sebagai platform untuk berkarya, malah dilihat sebagai platform untuk memberikan impak kepada masyarakat melalui penghasilan filem yang mendidik.

Alhamdulillah, seramai 100 orang peserta berjaya dikumpulkan pada kali ini. Peningkatan sebanyak 30 peserta berbanding penganjuran Festival Filem HAS 3.0. Terima kasih kepada rakan penganjur iaitu WADI Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Diharapkan agar penglibatan aktif dari lebih ramai pihak dan penaja akan merancakkan lagi perkembangan penganjuran Festival Filem HAS pada masa akan datang.  

Berita/Foto : Alif Asyraf.                     

Suntingan :  Mohd Sebri.